Monday, 1 October 2012

DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN)



Dewan Undangan Negeri terdiri daripada TYT Yang di-Pertua Negeri sebagai Ketua Negeri, seorang Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Ahli Dewan Undangan Negeri ini terdiri dari 28 orang yang dilantik mengikut perlembagaan persekutuan.
Yang di-Pertua Negeri akan mengadakan persidangan dari masa ke semasa dan akan mengetuai persidangan tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri akan dikekalkan selama 5 tahun sekiranya tidak dibubarkan dalam jangka masa tersebut. Yang di-Pertua Negeri boleh membubarkan dewan undangan negeri. Setelah dibubarkan, pilihanraya umum mesti diadakan dalam jangka masa enam puluh hari dari tarikh pembubaran.

Prosedur Undangan Negeri
Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Negeri, Dewan Undangan Negeri mesti menjalankan prosedurnya sendiri dan merangka Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat. Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat yang diluluskan melalui resolusi Dewan Undangan Negeri memperuntukan tentang aturan tingkah laku, keistimewaan dan prosedur parlimen yang mengawal prosiding semasa persidangan dan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Dewan Undangan Negeri.
Jumlah korum bagi persidangan Dewan Undangan Negeri ialah sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah keseluruhan ahli. Mana-mana ahli boleh memaklumkan tentang kekurangan korum pada bila-bila masa persidangan. Sekiranya jumlah korum masih tidak mencukupi, persidangan boleh ditangguhkan ke hari berikutnya.
Ahli-ahli dewan boleh berucap mengenai mana-mana perkara yang mempunyai kepentingan awam di bawah prinsip kebebasan berucap seperti mana yang diperuntukkan oleh Ordinan Dewan Undangan Negeri (Privileges, Immunities and Powers), Akta Hasutan dan Peraturan-peraturan tetap Dewan Undangan Negeri.
Asas bagi sebuah Dewan Undangan Negeri yang berkesan adalah terletak kepada kebebasan berucap di mana dewan meletakkan had-had tertentu melalui Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat dan amalan berparlimen.


Fungsi Dewan Undangan Negeri
Selain daripada fungsi perundangan, Dewan Undangan Negeri mempunyai fungsi-fungsi penting yang lain seperti berikut:
  • Menjaga kedaulatan perlembagaan dan hak berpelembagaan Negeri Melaka dan rakyat seperti mana yang dijelaskan di dalam perlembagaan.
  • Menjadi arena tumpuan bagi memeriksa dan mengkritik dasar-dasar dan pelaksanaan rancangan-rancangan kerajaan. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan mereka bertanggungjawab secara kolektif kepada Dewan Undangan Negeri. Ini dapat disaksikan dalam prosiding Dewan semasa perbahasaan terhadap Usul Diraja, usul tidak percaya dan perbahasan terhadap dasar-dasar am kerajaan.
  • Meluluskan perbekalan. Tiada cukai atau perbelanjaan boleh dikenakan terhadap Dana Tergabung (Consolidated Fund) melainkan dibenarkan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.
  • Mewakili rakyat, Dewan Undangan Negeri menyediakan forum kepada wakil-wakil rakyat untuk menyuarakan pendapat dan berbincang secara terbuka melalui keistimewaan berparlimen di bawah peruntukan Ordinan Dewan Undangan Negeri (Privileges, Immunities and Powers), 1963. Perkara-perkara yang disuarakan meliputi isu-isu yang menjadi tumpuan, rungutan atau masalah rakyat. Ini boleh dilakukan melalui perbahasan biasa, rayuan-rayuan dan membangkitkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan dan sebagainya.
  • Mempertimbangkan jenis dan kebaikan perundangan yang dibawa kepada Dewan Undangan Negeri serta mencadangkan pindaan bersesuaian sebagaimana yang difikirkan perlu
  • Memeriksa akaun awam untuk memastikan wang awam dibelanja mengikut kelulusan parlimen dan mengikut kepentingan pembayar cukai.
  • Menjadi arena perbincangan kritis terhadap kerajaan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan
  • Mengawasi tindak-tanduk pihak pemerintah sebagaimana yang ditunjukkan semasa perbahasan am.
  • Melindungi dan mempertingkatkan kepentingan yang terbaik untuk rakyat dan negeri dengan membangkitkan isu-isu tertentu, dan meredakan rungutan semasa prosiding atau melalui cara yang lain ditetapkan oleh peraturan Dewan Undangan Negeri.
  • Melantik Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan untuk tujuan siasatan melalui perbicaraan awam dan laporan-laporan.
  • Memperkembang dan memperguna keistimewaan dan prosedur berparlimen untuk membolehkan Dewan Undangan Negeri menjalankan fungsi-fungsi berpelembagaan dan perundangan dengan lebih berkesan.

Sumber:Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...