Sunday, 23 September 2012

Negeri Melaka

PETA NEGERI MELAKA


Peta Negeri Melaka


Malaysia terletak satu hingga tujuh darjah ke utara garisan khatulistiwa. Negeri Melaka, salah satu dari empat belas negeri dalam Malaysia, terletak di Barat Daya Semenanjung Malaysia mengadap Selat Melaka bersempadan dengan Negeri Sembilan di Utara dan Johor di Selatan.
Keluasan Melaka adalah 1,650 kilometer persegi dan ianya dibahagikan kepada tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) membolehkan Melaka diakses dari semua negeri di Malaysia. Perjalanan ke Melaka mengambil masa satu jam setengah melalui jalanraya dari Kuala Lumpur dan lebih kurang tiga jam dari Singapura.
Salah satu cara lain untuk sampai ke Melaka adalah dengan menggunakan jalan tepian pantai dari Kuala Lumpur yang melalui Klang, Morib dan Port Dickson sebelum sampai ke Melaka. Mereka dari Singapura boleh mengambil jalan indah yang melalui kawasan kampung dan ladang.

LAMBANG NEGERI MELAKA


Lambang Negeri Melaka

Kelima warna yang terdapat pada lambang negeri ini adalah warna-warna yang menunjukkan bahawa Melaka sebuah negeri di Malaysia. Lima bilah keris di dalam lambang tersebut melambangkan 5 orang pahlawan Melaka pada zaman silam yang terkenal dan berani: Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekiu, Hang Lekir dan Hang Kasturi. Bulan sabit dan bintang berpecah lima yang terdapat di atas tengah-tengahnya pula adalah simbol bahawa Agama Islam merupakan agama rasmi negeri tersebut.
Di samping itu, terdapat juga pokok dan 2 ekor Pelanduk yang mengisahkan hikayat bagaimana Melaka diasaskan. Parameswara telah menyaksikan pergaduhan di antara seekor Pelanduk dengan seekor Anjing semasa baginda berehat di bawah pokok Melaka. Baginda berasa kagum dengan kekuatan dan kebijaksanaan pelanduk yang kecil itu. Walaupun kecil, pelanduk itu tetap gagah dan baginda akhirnya mengambil keputusan untuk mendirikan tempat tinggal di situ dan menamakannya bersempena pokok Melaka tersebut. 
Moto negeri Melaka adalah "Bersatu Teguh".


BENDERA NEGERI MELAKA


Bendera Negeri Melaka

Sebelah kiri atas,biru pekat dengan bulan sabit dan bintang pecah lima berwarna kuning. Sebelah kanan atas berwarna merah dan separuh bahagian bawah berwarna putih.
Warna biru, kuning, merah dan putih yang terdapat pada bendera Melaka mencerminkan warna-warna yang terdapat pada bendera Malaysia (Jalur Gemilang). Ini menandakan Melaka sebagai sebuah negeri di Malaysia. Lambang bulan sabit dan bintang yang ada pula adalah simbol kepada agama Islam, agama rasmi negeri dan juga negara.

BUNGA NEGERI MELAKA

Bunga Negeri Melaka

Kesidang atau nama botaninya "Vallabris Glabra" adalah Bunga Negeri Melaka. Ia tergolong dalam keluarga Apocynaceae. Bau harum bunga kesidang amat ketara pada waktu pagi dan keharumannya selalu dibandingkan dengan daun pandan.
Bentuknya yang kecil dan cantik amat menarik dan sesuai dijadikan hiasan terutama baunya yang semerbak memenuhi setiap ruang dan bertahan lama. Bunga kesidang sesuai dijadiakn sebagai hiasan pada arca, pergolas dan kebiasaannya dijumpai di kuil, gereja, majlis perkahwinan dan lain-lain perayaan.
Pendeknya, bunga kesidang merupakan bunga yang selalu dijadikan hiasan di majlis-majlis keraian dan di tempat-tempat kehormat. masyarakat tradisi Melaka menjadikan kesidang sebagai bunga dandanan rambut wanita, hiasan pengantin dan alat-alat upacara perkahwinan Melayu seperti tepak sirih dan bunga rampai. Bunga kesidang paling ideal untuk dijadikan lambang Melaka. Walaupun kecil, kecantikan dan keharumannya dapat memikat semua sebagaimana Negeri Melaka yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, sejarah dan kemajuan yang telah dicapai hari ini.


LAGU NEGERI



"MELAKA MAJU JAYA"
MELAKA NEGERI BERSEJARAH
TEMPAT TUMPAH DARAH KITA
DIJUNJUNG DENGAN SEPENUH JIWA
UNTUK MAJU DAN JAYA
RAKYAT MELAKA SUDAH BERSATU PADU
BERIKRAR TAAT SETIA
JUJUR BERKHIDMAT SETIAP MASA
MELAKA MAJU JAYA 


 KEBUDAYAAN

Kebudayaan Melaka bermula lebih daripada enam kurun dimana pelbagai adat etnik dan tradisi diadun sempurna. Kehidupan aman rakyat Melaka berpunca daripada kehidupan pelbagai kaum yang telah melahirkan orang-orang Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Portugis, Chitty dan Eurasia. Setiap kumpulan etnik ini memberi citarasa yang berbeza rakyat Melaka yang terkenal sebagai rakyat yang peramah.
Setiap kaum ini memegang teguh tradisi mereka dan ini dapat dilihat melalui makanan, adat keagamaan, festival, budaya, rekabentuk, pemakaian, barang kemas dan kraftangan.
Hari ini Melaka mempunyai banyak perkara untuk ditawarkan kepada pelancong seperti budaya, adat istiadar, tempat-tempat bersejarah, festival keagamaan, sambutan perayaan tradisional di bandar Melaka serta Alor Gajah dan Jasin.



Organisasi sosial orang Melayu di Melaka dibahagikan kepada dua iaitu mereka yang mengikut Adat Temenggong iaitu si isteri mengikut keluarga si suami dan Adat Perpatih, dimana si suami mengikut keluarga si isteri.
Wanita Melayu memakai pakaian yang longgar dan berlengan panjang yang dinamakan baju kurung dan dipakai bersama kain sarung atau baju yang sedikit ketat yang dinamakan baju kebaya. Lelaki Melayu memakai baju Melayu yang dipakai bersama seluar yang longgar berserta dengan kain yang dikenali sebagai samping yang diikat di pinggang. Untuk majlis perkahwinan dan kenduri, kain songket akan digunakan sebagai kain samping. Tradisi dan karakter lain orang Melayu digambar dalam lagu seperti Dondang Sayang Melayu dan seni mempertahankan diri seperti Silat Melayu.
Kaum Cina datang ke Melaka semenjak perpindahan beramai-ramai orang Cina dari propinsi Selatan di negara Cina. Kaum-kaum seperti Hokkien, Cantonese, Hakka, Teochew dan Hainanese masih mengikut adat istiadat, tradisi, makanan, bahasa dan ciri-ciri kebudayaan mereka.
Kaum India di Melaka adalah orang Tamil dari India Selatan dimana mereka mendiami ladang getah. Walaubagaimanapun, ada juga diantara mereka yang bekerja dalam perniagaan barang kemas, fabrik, peniaga runcit, pedagang dan peminjam wang.




Baba dan Nyonya di Melaka adalah Cina Peranakan dimana nenek moyang mereka telah datang dan berkahwin dengan wanita tempatan. Perkahwinan campur seperti ini telah melahirkan budaya Cina yang unik serta tradisi Melayu.
Kaum Baba dan Nyonya telah memperkenalkan perabut unik, porselin dan pinggan mangkuk, cara pemakaian dan makanan lazat yang hanya boleh dijumpai di Melaka. Kaum Nyonya memakai sarung kebaya dengan "brooch" berbagai bentuk dan barang kemas yang diperbuat daripada perak atau emas.
Seperti juga Baba dan Nyonya, Melaka mempunyai komuniti kecil yang dipanggil Chitty iaitu orang peranakan yang berketurunan India atau anak-anak pedagang India yang berkahwin dengan wanita Melayu. Kampung mereka dikenali sebagai Kampung Chitty dan terletak ke arah barat Jalan Gajah Behrang, satu kilometer daripada barat laut Chinatown. Jalan masuk ke kampung ini dihiasi dengan ukiran gajah bersebelahan dengan Kuil Mutamariman. Seperti juga Kampung Morten, ia adalah kawasan yang indah untuk dilawati dan melihat rumah-rumah kampung yang bercirikan kampung Melayu. Waktu yang terbaik untuk melawat adalah ketika Festival Mariamman atau Pesta Datuk Char-char pada bulan Mei. Ia adalah pesta Hindu dimana anda mungkin berpeluang untuk menyaksikan upacara perkahwinan tradisional kaum India.
Melaka adalah satu-satunya negeri yang mempunyai penempatan Portugis yang diasaskan pada tahun 1930. Penduduknya menamakan tempat ini Padre Sua Chang (Tanah Paderi) sempena dengan pengasasnya. Masyarakat yang tinggal di sini adalah orang Eurasia berketurunan Portugis yang hidup sebagai nelayan. Orang Portugis mengamalkan agama Katolik dan bercakap bahasa Cristang atau Cristao.
Kaum Portugis di Melaka menyediakan kehidupan tradisional, bahasa, adat resam dan musik yang ternyata unik. Tariannya yang paling popular adalah Beranyo dan Frapeirra. Festival Kristian juga di sambut dengan hebat termasuk Hari Krismas, Pesta San Pedra dan Easter.
Tempat-tempat keagamaan yang boleh dilawati termasuk Gereja Christ, Gereja St. Paul, Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi, Masjid Kampung Kling, Tokong Cheng Hoon Teng, Masjid Kampung Hulu, Gereja St. Peter, Kuil Sam Poh Kong dan Masjid Tengkera.

FAKTA & NOMBOR 


Luas Kawasan:1650 km persegi

Ibu Negeri:Melaka 

Kawasan Pentadbiran:

  • Alor Gajah
  • Jasin
  • Melaka Tengah
Mukim Pentadbiran:81 

STATISTIK TERKINI
 

Populasi (2010) 
771,500

 Pecahan Kaum (2010)
  • Melayu: 460,000 (59.6%)
  • Cina: 205,300 (26.6%)
  • India: 47,400 (6.1%)
  • Lain-lain: 7,300 (0.9%)
  • Bumiputera Lain: 8,900 (1.2%)
  • Bukan Warganegara: 42,800 (5.5%)

Sumber:Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka

                     

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...