Monday, 1 October 2012

DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN)



Dewan Undangan Negeri terdiri daripada TYT Yang di-Pertua Negeri sebagai Ketua Negeri, seorang Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Ahli Dewan Undangan Negeri ini terdiri dari 28 orang yang dilantik mengikut perlembagaan persekutuan.
Yang di-Pertua Negeri akan mengadakan persidangan dari masa ke semasa dan akan mengetuai persidangan tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri akan dikekalkan selama 5 tahun sekiranya tidak dibubarkan dalam jangka masa tersebut. Yang di-Pertua Negeri boleh membubarkan dewan undangan negeri. Setelah dibubarkan, pilihanraya umum mesti diadakan dalam jangka masa enam puluh hari dari tarikh pembubaran.

Prosedur Undangan Negeri
Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Negeri, Dewan Undangan Negeri mesti menjalankan prosedurnya sendiri dan merangka Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat. Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat yang diluluskan melalui resolusi Dewan Undangan Negeri memperuntukan tentang aturan tingkah laku, keistimewaan dan prosedur parlimen yang mengawal prosiding semasa persidangan dan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Dewan Undangan Negeri.
Jumlah korum bagi persidangan Dewan Undangan Negeri ialah sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah keseluruhan ahli. Mana-mana ahli boleh memaklumkan tentang kekurangan korum pada bila-bila masa persidangan. Sekiranya jumlah korum masih tidak mencukupi, persidangan boleh ditangguhkan ke hari berikutnya.
Ahli-ahli dewan boleh berucap mengenai mana-mana perkara yang mempunyai kepentingan awam di bawah prinsip kebebasan berucap seperti mana yang diperuntukkan oleh Ordinan Dewan Undangan Negeri (Privileges, Immunities and Powers), Akta Hasutan dan Peraturan-peraturan tetap Dewan Undangan Negeri.
Asas bagi sebuah Dewan Undangan Negeri yang berkesan adalah terletak kepada kebebasan berucap di mana dewan meletakkan had-had tertentu melalui Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat dan amalan berparlimen.


Fungsi Dewan Undangan Negeri
Selain daripada fungsi perundangan, Dewan Undangan Negeri mempunyai fungsi-fungsi penting yang lain seperti berikut:
  • Menjaga kedaulatan perlembagaan dan hak berpelembagaan Negeri Melaka dan rakyat seperti mana yang dijelaskan di dalam perlembagaan.
  • Menjadi arena tumpuan bagi memeriksa dan mengkritik dasar-dasar dan pelaksanaan rancangan-rancangan kerajaan. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan mereka bertanggungjawab secara kolektif kepada Dewan Undangan Negeri. Ini dapat disaksikan dalam prosiding Dewan semasa perbahasaan terhadap Usul Diraja, usul tidak percaya dan perbahasan terhadap dasar-dasar am kerajaan.
  • Meluluskan perbekalan. Tiada cukai atau perbelanjaan boleh dikenakan terhadap Dana Tergabung (Consolidated Fund) melainkan dibenarkan oleh undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.
  • Mewakili rakyat, Dewan Undangan Negeri menyediakan forum kepada wakil-wakil rakyat untuk menyuarakan pendapat dan berbincang secara terbuka melalui keistimewaan berparlimen di bawah peruntukan Ordinan Dewan Undangan Negeri (Privileges, Immunities and Powers), 1963. Perkara-perkara yang disuarakan meliputi isu-isu yang menjadi tumpuan, rungutan atau masalah rakyat. Ini boleh dilakukan melalui perbahasan biasa, rayuan-rayuan dan membangkitkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan dan sebagainya.
  • Mempertimbangkan jenis dan kebaikan perundangan yang dibawa kepada Dewan Undangan Negeri serta mencadangkan pindaan bersesuaian sebagaimana yang difikirkan perlu
  • Memeriksa akaun awam untuk memastikan wang awam dibelanja mengikut kelulusan parlimen dan mengikut kepentingan pembayar cukai.
  • Menjadi arena perbincangan kritis terhadap kerajaan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan
  • Mengawasi tindak-tanduk pihak pemerintah sebagaimana yang ditunjukkan semasa perbahasan am.
  • Melindungi dan mempertingkatkan kepentingan yang terbaik untuk rakyat dan negeri dengan membangkitkan isu-isu tertentu, dan meredakan rungutan semasa prosiding atau melalui cara yang lain ditetapkan oleh peraturan Dewan Undangan Negeri.
  • Melantik Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan untuk tujuan siasatan melalui perbicaraan awam dan laporan-laporan.
  • Memperkembang dan memperguna keistimewaan dan prosedur berparlimen untuk membolehkan Dewan Undangan Negeri menjalankan fungsi-fungsi berpelembagaan dan perundangan dengan lebih berkesan.

Sumber:Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka 

KETUA MENTERI MELAKA


Ketua Menteri dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri dari kalangan ahli Dewan Undangan Negeri berdasarkan pertimbangan beliau dalam memberi kepercayaan kepada majoriti para ahli dewan. Ketua Menteri akan mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang akan bersidang setiap minggu di pejabat Ketua Menteri.
Ketua Menteri akan menjalankan tanggungjawab dan fungsinya sebagai ketua kerajaan negeri selain memenuhi keperluan masyarakat, terutama didalam kawasannya. Beliau tidak akan memegang mana-mana projek dan juga tidak dibenarkan berurusniaga dengan mana-mana pihak komersial.
Ketua Menteri pada ketika ini ialah Y.A.B. Datuk Seri Hj. Mohd. Ali bin Mohd Rustam. Beliau telah dilantik pada 3 Disember 1999.
Alamat :-
Pejabat Ketua Menteri
Tingkat 4 (Suite),
Blok Bendahara, Seri Negeri,
Hang Tuah Jaya,
Ayer Keroh 75450, Melaka
Senarai Ketua Menteri
NoNamaDariHingga
1.Datuk Seri Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam03.12.1999sekarang
2.Datuk Seri Abu Zahar bin Hj. Isnin23.05.199702.12.1999
3.Datuk Seri Hj. Mohd Zin bin Hj. Abdul Ghani14.10.199414.05.1997
4.Tan Sri Hj. Abdul Rahim bin Tamby Chik26.04.198213.10.1994
5.Datuk Seri Mohd. Adib b. Mohd Adam11.07.197826.04.1982
6.Datuk Setia Hj. Abdul Ghani bin Ali01.08.197210.07.1978
7.Datuk Hj. Talib bin Karim06.10.196731.07.1972
8.Tun Abdul Ghaffar bin Baba01.06.195905.10.1967
9.Dato' Kurnia Jasa Osman bin Talib31.08.195731.05.1959

Sumber:Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka 

TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA





Fungsi dan Peranan
 Fungsi dan peranan Yang di-Pertua Negeri meliputi perkara-perkara berikut:
  •  Ketua Kerajaan Negeri
  •  Fungsi Kehakiman
  • Fungsi Pertadbiran
  • Kuasa Pengampunan
  • Sumber Kehormatan dan Kedaulatan
Untuk maklumat lanjut, sila layari Laman Web Pejabat TYT Negeri Melaka di http://www.tytmelaka.gov.my
Senarai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri
Nama T.Y.T Yang di-Pertua NegeriTarikh Memerintah
T.Y.T Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob4 Jun 2004 - sekarang
T.Y.T Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin4 Dis 1984 – 3 Jun 2004
(19 tahun 6 bulan)
T.Y.T Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan23 Mei 1975 – 30 Nov 1984
(9 tahun 6 bulan)
T.Y.T Tun Haji Abdul Aziz bin Abdul Majid31 Ogos 1971 - 9 Mei 1975
(4 tahun 3 bulan)
T.Y.T Tun Haji Abdul Malek bin Yusuf31 Ogos 1963 - 30 Ogos 1971
(8 tahun)
T.Y.T Tun Leong Yew Koh31 Ogos 1957 - 31 Ogos 1963
(6 tahun)

Kerajaan



Melaka dengan keluasan kawasan sebanyak 1683 km persegi telah banyak mencorakkan sejarah Malaysia, kerana di sinilah segalanya bermula.
Melaka telah diasaskan dengan keberanian. Menurut lagenda, Parameswara, seorang putera raja dari Palembang, Sumatera telah terpegun dengan keberanian seekor kancil yang telah menendang seekor anjing yang mengejarnya ke dalam sungai. Aksi berani ini telah menaikkan semangat Parameswara dan beliau telah memanggil tempat itu "Melaka" sempena dengan nama pokok di mana beliau berteduh. Beliau kemudian telah memulakan pemerintahan di Melaka.
Di bawah pemerintahan Parameswara dan pemerintah-pemerintah selepas beliau, Melaka membangun hingga menjadi kuat kerana politik, sosial dan ekonominya.
Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik ramai pedagang-pedagang asing dari negara China, India, Timur Tengah serta negara-negara jiran. Melaka pernah menjadi pusat perdagangan utama di timur pada suatu masa dahulu.
Kesejahteraan Melaka ini jugalah yang menarik kuasa-kuasa asing seperti Thailand untuk menakluk Melaka. Percubaan Thailand untuk menakluk Melaka pada tahun 1446 dan 1456 telah dijatuhkan oleh Tun Perak, seorang Bendahara Melaka yang bijak. Perhubungan Melaka dengan negara China juga adalah hasil keputusan strategik Melaka untuk menghalang kemasukan Siam.
Pihak Portugis telah datang ke Timur untuk menguasai perdagangan rempah-ratus. Pada tahun 1511, bala tentera yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque telah menakluk Melaka. Pihak Portugis telah gagal untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri  yang aman kerana polisi-polisinya yang menyekat kebebasan serta  berlakunya perang dengan kerajaan-kerajaan Melayu di Melaka dan Johor. Pihak Portugis telah memerintah Melaka dari tahun 1511 hingga 1641.
Dalam tahun 1641, pihak Belanda telah mengalahkan Portugis. Belanda telah memerintah Melaka dari tahun 1641 hingga 1795 tetapi mereka tidak berminat untuk menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan di antara Timur dan Barat. Mereka lebih berminat untuk membangunkan Batavia (Jakarta) di Indonesia sebagai pusat pentadbiran mereka.
Di bawah Perjanjian Anglo-Dutch, Melaka telah diserahkan kepada pihak British dalam tahun 1811 untuk ditukarkan dengan Batavia (Jakarta). Melaka kekal dibawah pemerintahan British sehingga kepada Perang Dunia kedua. Pihak Jepun kemudian telah memerintah Melaka pada tahun 1941-1945 dan kemudian menyerahkannya kembali kepada pihak British. Melaka kemudiannya merdeka selaras dengan kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957.
Melaka hari ini telah membangun sebagai sebuah negeri yang terancang. Pembangunan ini adalah hasil penat lelah serta semangat dan komitmen yang telah  ditunjukkan oleh pemerintah Melaka untuk menjadikan Melaka sebuah negeri maju menjelang tahun 2010.
Malaysia telah mempraktikkan konstitusi beraja dalam kerajaan. Di peringkat kerajaan pusat, ketua Kerajaan adalah yang Dipertuan Agong. Baginda dibantu oleh Perdana Menteri.
Di peringkat negeri, ketua kerajaan adalah Gabenor atau Yang di-Pertua Negeri dan dibantu oleh Ketua Menteri. Dewan Undangan Negeri  merupakan kuasa tertinggi dalam menetapkan polisi kerajaan negeri.
Ketua Menteri dibantu oleh beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dalam melaksanakan tugas-tugasnya mentadbir kerajaan negeri. EXCO bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri.
Jabatan Ketua Menteri adalah tunjang pentadbiran negeri yang menempatkan Pejabat Ketua Menteri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta lain-lain Jabatan. Komponen-komponen lain pentadbiran negeri termasuk agensi kerajaan, korporat serta pentadbiran daerah dan tanah.
Di peringkat tempatan, terdapat empat Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Jasin dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya. Majlis Perbandaran ini menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan kepada penduduk.
Dengan komitmen jentera pentadbiran tertinggi, agensi kerajaan, badan korporat serta rakyat jelata, Melaka diharap akan terus mengekalkan prestasi cemerlang masa kini dan akan datang.

Sumber:Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...